Wartawan Sinar Harian
10 Februari 2012 
KUALA KRAU - Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama Darul Naim (SMADN), dekat sini, keliru dengan status permohonan mereka untuk membaiki dan menaik taraf prasarana sekolah itu.

Yang Dipertua PIBG, Abdul Raghani Jaafar berkata, pada Januari 2011, sekolah itu menerima kunju-ngan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Menurutnya, dalam kunjungan itu, Wan Abdul Wahid melihat sendiri keadaan sebenar sekolah itu yang sangat daif dan memerlukan pembinaan serta baik pulih untuk keselesaan pelajar.

“Beliau meminta PIBG membuat surat permohonan dan menyatakan segala keperluan untuk memudahkan Muip membuat tinjauan bagi meluluskan peruntukan membaiki sekolah ini.

“PIBG membuat surat permohonan itu segera. Namun setelah setahun berlalu, kita masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada Muip,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Raghani berkata, sekolah itu ibarat ‘hidup segan mati tidak mahu’ di mana bangunan sekolah, asrama putera dan puteri, surau, kantin serta sebagainya mengalami kerosakan.

Menurutnya, bangunan sekolah itu juga tiada ‘seri’ dan memerlukan cat baru supaya kembali ceria untuk menaikkan lagi semangat pelajar meneruskan pembelajaran.

“Pintu asrama mengalami banyak kerosakan. Atap bangunan sekolah, surau dan kantin juga pecah. Manakala, sebahagian kawasan tidak berpagar hingga membahayakan keselamatan pelajar. Keadaan sekolah ini semakin daif dan tidak sesuai untuk pelajar menimba ilmu.

“Lebih menyedihkan, bilangan pelajar sebelum ini lebih 400 orang, namun kini hanya 150 orang. Ia berikutan kebanyakan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah lain kerana begitu terkejut dan tidak selesa membiarkan anak mereka bersekolah di sini tanpa mengambil tahu prestasi sebenar pelajar di sekolah ini,” katanya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG, Zulkefly Mohamad berkata, PIBG sudah menghantar permohonan supaya sekolah itu dimasukkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), namun hingga kini masih belum ada sebarang maklum balas.

Menurutnya, keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu mencatatkan prestasi cemerlang di mana seramai empat pelajar memperoleh 8A.

“Sekolah ini melahirkan ramai pelajar cemerlang. Sehubungan itu, kita mohon Muip mengambil perhatian untuk menarik semula lebih ramai pelajar ke sekolah ini,” katanya.

Sinar Harian menghubungi Wan Abdul Wahid tetapi gagal dan dimaklumkan beliau kini berada di luar negara. Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas beliau dalam masa terdekat ini.